Search This Blog

Tuesday 12 September 2023

Catatan Hari Keluarga Besar Nik Ismail

Gambar semua ahli keluarga besar yang hadir dan sempat bergambar di akhir majlis
(Ada yang dah balik awal sebahagian kecilnya)

Ahli keluarga terdekat saya yang duduk (dari kanan) adalah Ummi, Che Yah, Che Moh, Che Ngoh Ayoh Ngoh, Ayoh Ngoh, Mok Cik Nah, Che Su, Che Su Ayoh Su dan Ayoh Su (ibu, mak saudara dan bapa saudara dengan pasangan masing-masing)


Generasi ketiga dan keempat Haji Nik Ismail
(Sepupu, dua pupu dan anak sepupu serta anak dua pupu)

 Bismillah thumma Alhamdulillah, pada 4 Februari 2023 yang lalu, bersamaan 13 Rejab 1444 Hijrah, telah diadakan dengan jayanya satu program perjumpaan ahli keluarga keturunan moyang saya sebelah nenek sebelah bapa iaitu Hj. Nik Ismail bin Wan Musa dan isterinya Hjh. Wan Zainab binti Wan Jusoh yang bertempat di Dewan Banquet Crystal Colour Avenue di Kota Bharu, Kelantan.


Program seumpama ini mungkin adalah impian arwah abah saya untuk menjayakannya yang mana tak sempat dilihat olehnya. Saya sangat terharu dan teruja untuk sama-sama berhimpun dalam perjumpaan hari keluarga ini kerana inilah kali pertama ramai ahli keluarga sebelah nenek abah berkumpul beramai-ramai dan dapat berjumpa dengan ramai ahli keluarga dalam satu tempat dan satu masa.


Saya telah hadir ke majlis ini bersama dengan isteri saya, Nor Aida Syakinah binti Mohamat yang telah pun masuk dua bulan usia kandungan anak sulung lelaki kami, ibu saya Nor Aini binti Che Wil, abang sebapa saya Wan Rafhan bin Wan Mohamad, isterinya Kak Ain dan anak-anaknya Hazmi, Qhusyairi dan dua orang lagi anaknya bersama dengan Kak Ain, adik-adik saya Wan Aisyah binti Wan Mohamad bersama suaminya Khairuddin dan anak mereka Aisy Aydin, Wan Aminah, dan Wan Azimah. Dua orang adik saya tak hadir sebab mereka tak dapat cuti iaitu Wan Arifah (Sem 1 UUM Kedah) dan Wan Amirah (SPM 2022).


Ramai juga sepupu sepapat beserta anak-anak mereka dan ibu serta bapa saudara saya yang hadir dalam majlis ini terutama yang tinggal jauh di ibu kota dan jarang bertemu kerana sudah tidak pulang beraya di kampung terutamanya setelah kematian nenek saya dan abah saya. Pak sepupu, mak sepupu, dua pupu, anak dua pupu ramai hadir dan kebanyakannya saya tidak kenal kecuali yang pernah saya ziarahi mereka semasa arwah abah masih ada dan yang masih berkunjung ke rumah saya di kampung walaupun setelah abah saya tiada. Satu-satunya nenek saudara yang masih hidup iaitu Nik Hasnah binti Nik Ismail atau saya memanggilnya Mok Su Nah (walaupun mengikut pangkatnya sepatutnya dipanggil Tok Su Nah) hadir dalam majlis itu bersama dengan suaminya Ayah Sin.


Dalam catatan ini saya lampirkan beberapa gambar terpilih ahli-ahli keluarga yang hadir dalam perjumpaan ini (atas) dan juga pautan laporan akhbar Sinar Harian (bawah) yang mana telah dijemput oleh Pengerusi majlis ini iaitu Dato' Faridah binti Mohd Ali, ibu dua pupu saya, seorang ahli perniagaan yang berjaya.


https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/243691



Friday 22 July 2016

Usaha Jejak Waris Keturunan Akan Dimuat Naikkan, Insya-Allah. 1. Pengenalan Semula Blog Wan Din dan Wan Idris ini.

  Insya-Allah, saya Wan Ahmad Kamal akan menyambung kembali jejak waris keturunan yang gemulah abah saya telah usahakan. Saya sedang menyusun maklumat dan dalam proses memahami susur galur dan perkaitan antara satu sama lain. Hasrat saya adalah untuk menyiapkan slide pembentangan dalam bentuk powerpoint dan dimuat naik ke blog ini, sedikit demi sedikit.

  Pendorong utama saya menyambung semula usaha pendokumentasian keturunan ini adalah disebabkan oleh beberapa punca. Antaranya ialah luahan hati ahli keluarga keturunan Nik Ismail bin Wan Musa yang ingin mengadakan satu perjumpaan keluarga yang besar seboleh-bolehnya pada cuti raya tahun hadapan. Selain itu, maklumat-maklumat yang dahulunya tidak diketahui berada di mana telah ummi saya jumpai dan sekarang ini berada dalam tangan saya. Oleh itu, mudahlah saya mengumpul dan menyusun maklumat-maklumat yang abah saya rekodkan tersebut.

  Kenapakah saya meletakkan nama blog ini Keturunan Wan Idris dan Wan Din? Hal ini disebabkan oleh kedua-duanya merupakan datuk kepada moyang saya sebelah nenek saya sebelah abah saya. Nama abah saya ialah Wan Mohamad bin Wan Ali bin Wan Mamat bin Wan Musa bin Wan Ahmad bin Wan Abdul Samad bin Wan Abdul Kadir. Saya ingat-ingat lupa letak duduknya nama-nama moyang-moyang saya sebelah bapanya abah saya iaitu mungkin Wan Musa bin Wan Mamat dan Wan Abdul Kadir bin Wan Abdul Samad. Hal ini disebabkan oleh saya tidak terus mencatat ketika arwah abah saya memberitahu kepada saya secara lisan. Insya-Allah saya akan tanya ibu bapa saudara saya ataupun tok saudara ataupun ibu bapa sepupu saya yang lain untuk mendapatkan kepastian selepas ini.

  Walaupun keturunan sebelah datuk saya sebelah abah saya banyak yang saya tahu, abah saya tidak menjejak waris dan membuat rajah salasilah keluarga sebelah bapanya, tetapi sebelah ibunya iaitu Nik Nah binti Nik Ismail yang saya panggil sebagai We (sebutannya Wae mengikut kaedah penyebutan ejaan bahasa Korea yang dirumikan). Allahyarham nenek saya ini (Wae) yang merupakan ibu kepada bapa saya, bernama Nik Nah binti Nik Ismail bin Wan Musa bin Wan Zainal Abidin (Inilah nama penuh Wan Din). Dari jaluran sebelah bapa Wae inilah bertemu dengan Wan Din iaitu datuk kepada moyang saya, Nik Ismail, yang juga moyang kepada nenek saya, Nik Nah. Manakala titihan sebelah ibu Wae, iaitu isteri kepada Nik Ismail bernama Wan Zainab binti Wan Jusoh bin Wan Idris. Di sinilah pula susur galur sampai kepada Wan Idris. Wan Idris ini ialah datuk sebelah bapa kepada Wan Zainab, ibu kepada Wae dan moyang kepada Wae sebelah ibunya.

  Setakat ini sahaja dulu pengenalan dua asas perdana atau punca utama susur galur keturunan Wae saya sebagaimana yang difahami daripada hasil usaha pencarian waris keluarga dan titih keturunan oleh Allahyarham abah saya. Wan Din dan Wan Idris merupakan dua sosok tubuh yang tidak ada pertalian kekeluargaan yang rapat kerana Wan Idris berasal dari negeri Kedah manakala Wan Din pula berasal dari Kelantan. Kisah mengenai Wan Idris dan destinasinya iaitu Kampung Berangan (kini dalam jajahan Pasir Puteh, Kelantan) insya-Allah akan dimuat naikkan selepas ini, yang merupakan hasil tulisan al-marhum abah saya sendiri. Semoga usaha ini dapat diselesaikan dengan sempurna dan semoga Allah menganugerahkan pahala kepada arwah abah saya, Wan Mohamad bin Wan Ali atas usahanya untuk menyambung silaturrahim keluarga keturunannya.

Wallahu Ta'ala A'lam Bissawab.

Tuesday 7 April 2015

Usaha Penyiaran Salasilah Tergendala

Bismillah

Niat murni untuk menyiarkan susur galur rantaian keluarga besar ini terpaksa ditunda atau dihentikan untuk beberapa tempoh tertentu. Untuk makluman juga, penggerak sebenar dalam pencarian waris keturunan ini juga iaitu abah saya telahpun meninggal dunia pada penghujung bulan November 2014 yang lalu. Jika selepas ini disiarkan maklumat² keluarga, hanya sampai kepada apa yang telah diusahakan oleh abah saya semasa beliau hidup. Saya tidak berminat lagi untuk menyambung kerjanya kerana atas beberapa faktor yang saya rasa tidak perlu ditulis di sini

Jika ada yang mengenali abah saya, Allahyarham Wan Mohamad bin Wan Ali, dan juga Allahyarhamah Nik Nah binti Nik Ismail, saya mohon untuk maafkanlah segala kesalahan dan kesilapan mereka berdua sepanjang hidup mereka. Berdoalah supaya abah dan tok wan (nenek) saya yang saya panggil wae dirahmati oleh Allah Subhanahu WaTa'ala.

Saya juga memohon kemaafan kerana membuat blog tapi tidak dikemas kini sehinggalah ke saat ini.

Wednesday 4 January 2012

Mukaddimah

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum saya ucapkan kepada pengunjung blog ini.
Nama diberi Wan Ahmad Kamal bin Wan Mohamad, pencipta blog ini
Blog ini bukanlah menghuraikan salasilah keturunan semua individu yang berketurunan Wan, tetapi hanya mengisahkan perihal diriku, keturunan Wan yang mengalir dalam darahku ini.
Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada yang sudi membacanya, diharapkan ahli-ahli keluarga yang besar ini dapat bersama-sama dengan saya untuk mengeratkan lagi silaturrahim sesama kita.
Saya juga memohon kesilapan sekiranya terdapat kesilapan fakta atau sebagainya yang terkandung dalam blog ini. Maklumat yang termuat dalam blog ini merupakan apa yang abah saya iaitu Wan Mohamad bin Wan Ali usahakan dengan menghubungi, menziarahi dan menemu ramah ahli-ahli waris yang berada di mana-mana sahaja di dunia ini.
Semoga usaha ini mendapat keredhaan-Nya.
Selamat berblog...:-)